Monday, 9 June 2014

Pelajar Kuliyyah Perubatan merangkul pingat emas pada Temasya SUKMA XVII Perlis 2014 - medic kuin insaniah

Tahniah diucapkan kepada salah seorang pelajar Kuliyyah Perubatan & Sains Kesihatan iaitu Mohamad Afiff Rahim yang telah berjaya merangkul pingat emas pada Temasya SUKMA XVII Perlis 2014 yang diadakan baru-baru ini. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kerana telah mengharumkan nama kuliyyah dan juga Kolej Universiti Insaniah . Sekaligus membuktikan bahawa pelajar perubatan bukanlah pelajar yang hanya tahu membaca buku dan mengulangkaji pelajaran sahaja, sebaliknya kami juga seimbang dari segi jasmani dan fizikal. Insya Allah, pelajar-pelajar yang berkompeten seperti inilah yang bakal dihasilkan oleh Kulliyyah Perubatan dan Sains Kesihatan , Kolej Universiti Insaniah bukan sahaja dari segi fizikal dan mental malah juga rohani. Semoga kejayaan beliau menjadi contoh kepada pelajar-pelajar yang lain . Tahniah sekali lagi !


Berikut merupakan petikan artikel dari portal utama Insaniah :





PESILAT KUIN LAKAR KEJUTAN PADA TEMASYA SUKMA XVII PERLIS 2014

Kangar, 4 Jun 2014 - Pesilat KUIN berjaya melakar kejutan pada temasya SUKMA ke-17 Perlis 2014 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 4 Jun 2014. Tirai kejohanan yang berlabuh pada malam 4 Jun 2014 telah diserikan lagi dengan majlis penutupan gilang gemilang bertempat di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis. Wilayah Persekutuan dinobatkan sebagai juara keseluruhan SUKMA ke-17 Perlis 2014 yang mengatasi pencabar terdekat, iaitu Terengganu. Ini mengakhiri penantian 28 tahun kontijen Wilayah Persekutuan yang kali terakhir memenanginya pada tahun 1986.

Sejarah tercipta apabila Mohammad Afiff bin Rahim, 22 tahun yang mewakili negeri Kedah berjaya merangkul pingat emas dalam acara Pencak Silat kategori J (90-95 KG). Beliau berjaya menewaskan pesilat dari negeri Johor pada perlawanan akhir yang telah berlangsung di Kompleks Sukan Negeri, Dewan Belia, Kangar, Perlis. Terdahulu, Mohammad Afiff mencatatkan kemenangan ke atas pesilat dari Wilayah Persekutuan pada pertemuan peringkat suku akhir dan pesilat dari negeri Sabah pada peringkat separuh akhir. Beliau merupakan pelajar tahun dua dari Kulliyyah Perubatan dan Sains Kesihatan, KUIN.

Turut terlibat pada temasya tahun ini, dua pesilat KUIN yang mewakili negeri masing-masing. Antaranya adalah Muhd Akmal Mubtasim bin Abdul Rahman (Kulliyyah Usuluddin) dan Solahuddin bin Noh (Kulliyyah Syariah). Walaubagaimanapun, Muhd Akmal yang mewakili negeri Perak dalam Kategori B (50-55 KG) dan Solahuddin yang mewakili negeri Kedah dalam Kategori D (60-65 KG) agak kurang bernasib baik apabila tewas pada saingan peringkat awal.

Penglibatan pesilat-pesilat KUIN pada temasya seumpama ini turut membuktikan komitment dan sokongan tinggi pihak pengurusan KUIN dalam usaha membentuk pelajar yang serba boleh dalam bidang akademik dan kokurikulum, serta mampu bersaing secara kompetatif dalam apa jua bidang yang diceburi. Rektor dan seluruh warga KUIN merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua pesilat KUIN yang telah berjaya dan bertanding pada temasya SUKMA ke-17 Perlis 2014.

sila layari :
http://www.insaniah.edu.my/portal/index.php/akitiviti/283-pesilat-kuin-lakar-kejutan-pada-temasya-sukma-xvii-perlis-2014




- Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS) , Kulliyyah Perubatan & Sains Kesihatan , Kolej Universiti Insaniah (KUIN) -

No comments: